Posted by
AVM
May 28, 2009

ROME [6.30 am] - Barcelona menyingkirkan Manchester United sebagai juara Eropah dengan kemenangan bergaya 2-0 pada final Liga Juara-Juara di Stadio Olimpico pagi tadi. Penyerang Samuel Eto membuka jaringan pada minit ke-10 apabila beliau memotong Nemanja Vidic dari sebelah kanan dan menolak bola rendah melepasi penjaga gol United, Edwin van der Sar. Xavi meledakkan tendangan percuma ke tiang gol pada permulaan separuh masa kedua sebelum Lionel Messi memastikan kemenangan dengan tandukan cantik hasil hantaran Xavi pada minit ke-70.Kemenangan itu adalah yang ketiga untuk Barcelona dalam persaingan kelab perdana Eropah selepas kejuaraan pada 1992 dan 2006 dan melengkapkan tiga kejayaan musim ini selepas menjuarai La Liga dan King’s Cup. Sementara itu, Pengurus Manchester United, Alex Ferguson, tidak menawarkan sebarang alasan, sebaliknya berkata Barcelona layak memenangi perlawanan pagi tadi. Juara Sepanyol itu menang mudah 2-0 ke atas United yang tercari-cari rentak permainan selepas permulaan baik di awal permainan. “Saya rasa gol pertama adalah pembunuhnya, kami bermula dengan baik tetapi menjadi gementar selepas itu. “Kami mempunyai banyak masa dan peluang di separuh masa kedua tetapi kami ditewaskan pasukan yang lebih baik," katanya. Pertahanan tengah United, Rio Ferdinand, pula berkata pasukannya tidak mempamerkan permainan terbaik mereka. “Saya tidak fikir seorang pun daripada kami di luar sana yang boleh mengatakan kami bermain dengan baik," katanya.
0 comments